Friday, September 4, 2009

Isu-Isu Semasa Qiraat dan Tarannum

PENGUASAAN QIRAAT DAN TARANUM DI SEKOLAH

Al-Quran merupakan Kalam Allah yang merupakan mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui perantaraan malaikat Jibril A.S. Ianya ditulis dalam beberapa mashaf, dipetik dan disusun daripada riwayat-riwayat yang mutawatir dan membacanya merupakan suatu ibadat. Berdasarkan sifat Al-Quran yang unik dan ‘ijaz (اعجاز) maka ia memerlukan setiap orang menguasai beberapa ilmu untuk memantapkan penguasaan bacaaan
Al-Quran yang diturunkan oleh Allah. Ilmu-ilmu ini meliputi Ilmu Tajwid, Qiraat dan Taranum serta beberapa ilmu lain berkaitan dengan Al-Quran. Ilmu-ilmu ini boleh melahirkan modal insan yang cemerlang dalam pendidikan negara menurut Falsafah Pendidikan Negara.


Peranan Kementerian Pelajaran Malaysia

Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM) telah menjalankan Kelas Kemahiran Al-Quran (KKQ) di sekolah menengah kebangsaan agama ( SMKA )sejak 1986 sebagai salah satu aktiviti kurikulum di sekolah. Kelas ini telah diperluaskan ke kelas aliran agama ( KAA ) di sekolah menengah kebangsaan (SMK) mengikut sukatan pelajaran yang ditetapkan.
Murid-murid dipilih dari kalangan mereka yang lancar dan baik dalam bacaan Al-Quran. Pelajar-pelajar ini akan ini akan menduduki peperiksaan khas yang akan diadakan semasa di tingkatan tiga dan lima. Skop peperiksaan adalah dalam bentuk lisan dan bertulis meliputi aspek tafsir, hafazan, tajwid dan taranum ulum al-quran dan qiraat al-sab’ie.

Tahap Penguasaan Qiraat dan Taranum di Sekolah

Akhir-akhir ini kita sering mendengar dan membicarakan isu kelemahan pelajar-pelajar kita dalam menguasai bacaan Al-Quran di sekolah-sekolah. Walau pun pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan namun kajian menunjukkan ramai pelajar khususnya di sekolah menengah harian biasa sangat lemah dalam penguasaan tulisan jawi dan bacaan Al-Quran. Ini sekaligus akan menyekat perkembangan ilmu qiraat dan taranum di sekolah-sekolah. Aspek-aspek yang mempengaruhi kelemahan ini termasuklah :

a) Asas Ilmu Tajwid Yang Lemah

Kebanyakan murid sekolah rendah dan menengah terdiri daripada beberapa kategori iaitu masalah murid yang langsung tidak boleh membaca Al Quran, boleh membaca Al-Quran tanpa bertajwid dan tidak boleh membaca Al-Quran secara bertaranum. Pelajar-pelajar juga tidak dapat menguasai hukum asas tajwid seperti nun mati dan nun sakinah walaupun iannya telah diperkenalkan di peringkat pembelajaran awal ilmu ini. Ini menyukarkan untuk melatih mereka dalam penguasaan ilmu qiraat dan taranum yang memerlukan kelancaran dan kefasihan dalam bacaan Al-Quran.

b) Kaedah Pengajaran Lama Al-Quran

Kaedah pengajaran lama Al-Quran juga mempengaruhi penguasaan pelajar dalam bacaan Al-Quran dimana kaedah Pengantar Muqaddam dianggap lemah sejak berkurun lamanya diamalkan sebelum digantikan dengan kaedah iqra’ dan qiraati. Ini menyebabkan masalah ini berterusan sejak pelajar tersebut belajar Al-Quran dari usia kanak-kanak, di sekolah rendah dan akan berpanjangan ke sekolah menengah.

c) Minat Terhadap Program Tilawah Al-Quran dan Jawi

Pelajar-pelajar sekolah juga didapati kurang berminat dalam Program Tilawah Al-Quran, penguasaan jawi dan Al-Quran. Penguasaan jawi dan Al-Quran mereka berada pada tahap sederhana dan lemah sebelum mereka memasuki sekolah menengah. Pelajar Islam didapati kurang cinta kepada Al-Quran kerana mereka lebih menumpukan kepada pelajaran lain yang sesuai dengan minat dan keperluan semasa. Sekiranya Al-Quran dijadikan mata pelajaran wajib untuk memasuki universiti pasti akan ada tumpuan yang lebih kepada ilmu Al-Quran.

Faktor Pencapaian Pelajar dalam Qiraat dan Taranum

Terdapat beberapa factor yang melibatkan guru iaitu pembimbing dan murid bagi meningkatkan pencapaian pelajar dalam bacaan Al-Quran khusunya dalam bidang qiraat dan taranum., iaitu :

1. Faktor Guru

1.1 Guru mestilah membuat persedian ilmu iaitu kemahiran aspek tajwid yang mendalam bagi menarik minat murid.
1.2 Memiliki suara yang baik.
1.3 Memiliki lahjah ‘arabi yang baik untuk menepati sebutan huruf-huruf, kalimah dan ayat-ayat Al-Quran.
1.4 Kenal dan faham serta menguasai tentang jenis kategori suara.
1.5 Kaya dengan variasi lagu dan dapat mencontohkan jenis dan bunga-bunga(burdah) lagu dengan baik dan berkesan.
1.6 Membezakan dan mencontohkan lagu-lagu taranum yang dibawa oleh qari-qari ternama.

2. Faktor Murid

2.1 Lancar dan fasih dalam bacaan Al-Quran.
2.2 Menguasai ilmu tajwid dengan baik.
2.3 Mempunyai bakat dan suara yang baik.
2.4 Kemahuan yang tinggi untuk menguasai bacaan pelbagai qiraat dan taranum.

Penguasaan dalam Ilmu Qiraat dan Taranum memerlukan kesungguhan dan kemahiran yang baik dari setiap individu yang berminat mendalaminya. Mewujudkan kelas KKQ dapat melahirkan generasi yang cintakan Al-Quran dan mahir Ilmu Qiraat dan Taranum. Penguasaan Al-Quran akan menjadi lebih mudah sekiranya pelajar dapat menguasai bidang Al-Quran mengikut kronologi dan tersusun.

Rujukan

Hassan Mahmud al-Hafiz . 1995 . Mengenai Qiraat al Hafiz . Darul Nu’man, Kuala Lumpur
____________________ . Pencapaian Kelas Kemahiran Al Quran di Sesebuah Sekolah Menengah. Internet . Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment