Friday, November 27, 2009

Menghayati Sejarah dan Falsafah Ibadat Qurban

Musim Haji untuk 1430H telah kembali, bulan haji atau bulan Zulhijjah mempunyai beberapa pakej ibadah. Selain kita dapat menyambut Eidul Adha atau Hari Raya Korban, pada bulan ini juga berjuta-juta umat Islam seluruh dunia berada di tanah suci Mekah mengerjakan rukun Islam yang kelima. Bagi kita yang belum diberi kesempatan atau peluang untuk menyambut panggilan Baitullah, maka sewajarnya kita bertakbir dan bertahmid memuji dan mengagungkan kebesaran Allah s.w.t.

Selain daripada kita menyambut dan meraikan hari kebesaran Islam ini saban tahun, maka sewajarnyalah kita menghayati falsafah serta intipati Eidul Adha itu sendiri, ianya lahir dari sebuah peristiwa yang besar dan agung iaitu kisah penyembelihan Nabi Ismail a.s oleh ayahnya Nabi Ibrahim bagi memenuhi dan menuruti perintah Allah yang Maha Agung. Hal ini dinukilkan dalam firman Allah yang bermaksud :

Dia (Ibrahim) berkata : "Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku telah menyembelihmu. Cubalah engkau renungkan dan apakah pandanganmu". Ismail menjawab :"Wahai ayah! Kerjakanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu. Insya Allah engkau akan mendapati aku termasuk orang yang sabar".(Surah ash Shaffat : 102)

Di dalam ayat ini kita dapat lihat bahawa betapa taatnya Nabi Ibrahim a.s sehingga sanggup mengorbankan zuriat sendiri demi memenuhi tuntutan Ilahi. Inilah pergorbanan besar dalam sejarah yang tidak dapat kita sebagai insan biasa untuk memenuhinya, tetapi tidak bagi Nabi Ibrahim yang yakin dan bertawakkal kepada Allah s.w.t.Pada usianya yang sudah lanjut, beliau memohon kepada Allah s.w.t agar dikurniakan anak yang soleh. Permohonan baginda dikabulkan Allah dengan berita gembira dimana akan lahirnya seorang anak yang amat sabar pada ketika Nabi Ibrahim berusia 86 tahun.

Akan tetapi apabila meningkatnya usia puteranya Ismail ke alam remaja, Nabi Ibrahim bermimpi mendapat perintah supaya menyembelih anaknya seperti maksud Al-Quran :

"Apabila anak itu mencapai usia yang dapat berusaha bersama-sama d engan ayahnya".( Surah ash Shaafat : 102)

Hadith dari Ibnu Abbas r.a bermaksud :"Mimipi bagi Nabi adalah wahyu"(Riwayat Bukhari). Mimpi itu merupaka berita dari Allah yang disampaikan kepada Nabi Ibrahim. Mimpi perintah supaya beliau menyembelih anak ini diperolehi ketika usia bangida sudah tua dan tidak lagi mampu memperolehi zuriat, alangkah yakinnya Ibrahim kepada kekuasaan Allah berbanding kita yang sentiasa goyah untuk mengorbankan baik tenaga atau wang ringgit ke jalan Allah. Sudahlah sebelumnya diperintahkan supaya meninggalkan kedua anak dan isterinya itu di lembah tandus yang tiada tumbuhan, air dan juga jauh dari penempatan manusia, namun Nabi Ibrahim tetap akur padaNya.

Perintah supaya menyembelih anaknya Ismail segera ditunaikan Ibrahim. Beliau segera menemui anaknya untuk membincangkan perkara itu, agar Ismail merasa tenang dan yakin dengan perintah Allah itu. Nabi Ismail dengan penuh yakin menyerah diri supaya segera dilaksanakan perintah Allah itu tanpa rasa takut dan gentar. Ia merupakan satu jawapan yang yakin dari seorang anak yang begitu taat kepada ibu bapanya dan penciptaNya. Bagi memperlihatkan ketaatan mereka yang maha benar, Allah berfirman bermaksud :

"Wahai Ibrahim! Engkau benar-benar telah membenarkan mimpi itu". ( Surah ash Shaffat: 104-105)

Menurut satu riwayat, semasa proses penyembelihan itu Ibrahim meminta Ismail duduk dalam keadaan menelangkup supaya beliau langsung tidak melihat wajah anaknya. Pendapat ini adalah kebanyakan dari riwayat Ibnu Abbas, Mujahid, Said bin Jabir, Qatadah dan adh Dhahak. Pendapat lain pula ialah Ismail berbaring seperti keadaan orang membaringkan binatang sembelihan iaitu bahagian pelipisnya menyentuh tanah. Keduanya berserah kepada Allah sambil bertakbir dan Nabi Ibrahim sendiri berusaha menguatkan semangatnya bagi menyaksikan kematian anaknya. Usaha Ibrahim yang penuh ketaatan ini diibaratkan mengorbankan sesuatu yang disayangi untuk keperluan orang lain. Firman Allah bermaksud :

"Sesungguhnya peristiwa ini benar-benar menjadi ujian yang nyata (bagi mereka)".(Surah ash Shaffat : 106)

Bagi menunjukkan kasih-sayang dan kurniaan Allah s.w.t dalam perkara ini, apa yang terjadi ialah apabila Ibrahim mula menyembelih anaknya Ismail, pisau yang ditekan untuk memotong urat nadi pada leher Nabi Ismail menjadi tumpul dan tidak dapat memotongnya langsung. Allah menggantikan pengorbanan mereka dengan binatang sembelihan seperti maksud FirmanNya :

"Dan Kami menggantinya dengan binatang sembelihan yang besar".( Surah ash Shaffat : 107)

Binatang sembelihan yang digantikan itu menurut jumhur ulama adalah kibas berbulu putih, bermata hitam dan bertanduk besar.Binatang itu tiba-tiba dilihat terikat pada sebatang pokok yang tumbuh di bukit tidak jauh dari situ. Maka inilah kurniaan yang paling besar dalam sejarah Islam atas ketaatan dan ketabahan seorang pesuruh Allah yang yakin akan kebesaran dan kekuasaanNya.

Falsafah Ibadat Korban

Eidul Adha membawa konsep dan pengertian yang sangat luas meliputi segala aspek kehidupan. Hari kemenangan umat Islam ini tidak sewajarnya disambut dengan hanya mengerjakan solat sunat Eidul Adha, bertakbir di masjid dan melakukan korban binatang sembelihan . Ibadat paling besar berlaku kepada umat Islam di bulan Zulhijjah ini ialah menyahut panggilan haji di Baitullah di kota suci Mekah dimana umat Islam dari seluruh dunia tanpa mengira martabat kekayaan dan kemiskinan berkumpul di tanah suci itu dengan satu tujuan iaitu pengabdian kepada Allah al Khalik. Ianya harus dilihat dari sudut yang tersirat disebalik perlakuan ibadat-ibadat sunat tersebut. Maka apabila kita dapat menghayati makna yang tersirat tersebut, dapatlah kita memahami pergorbanan yang dituntut dalam Islam menurut ertikata yang sebenarnya.

Dalam hadith riwayat at Tirmidzi, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : "Aku diperintahkan dengan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu"

Qurban atau Udhiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

Ibadah korban juga mengandungi hikmah-hikmah dan fadhilat-fadhilat yang tertentu, antaranya :

a) Memperingati sejarah bermulanya peristiwa korban oleh Nabi ibrahim ke atas Nabi Ismail sebagai tanda ketaatan kepada Allah.

b) Melahirkan dan menunjukkan rasa syukur dalam diri atas rahmat dan nikmat kurniaan Allah yang tidak dapat dihitung banyaknya. Atas rasa syukur tersebutlah maka kita dianjurkan supaya menginfaqkan sedikit harta kekayaan kita kepada Allah dengan jalan mengerjakan ibadah korban agar kita sentiasa sedar akan harta dan nikmat yang kita perolehi ini adalah datangya dari Allah.

c) Ibadah korban juga dapat menyatukan atau mengeratkan tali silaturrahim sesama Islam tanpa mengira pangkat dan darjat. Melalui aktiviti ini, kesatuan dan keutuhan masyarakat menjadi jitu dalam mengembleng tenaga bersama-sama. Jurang kekayaan dapat dihapuskan dengan si miskin dapat sama merasa daging korban sumbangan si kaya dalam mensucikan harta mereka dengan jalan berkorban untuk si miskin.
Fadhilat dan ganjaran amalan korban ini pula melimpah ruah banyaknya bagi menambah pahala kebajikan kerana keberkatan agihan daging korban itu dapat memberi manfaat kepada semua seperti maksud hadith Rasulullah :

"Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan".(Hadith Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Korban juga dapat menyucikan diri dari segala dosa-dosa yang telah lalu, dimana penumpahan darah binatang korban itu sebagai tanda atau ganti kita untu mengharapkan pengampunan Allah sebagaimana maksud hadith Rasulullah :

"Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu".( Hadith Riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)

Hamba yang ikhlas dan tulus suci melakukan ibadah korban akan mendapat tempat yang mulia di sisi Allah s.w.t sebagaimana ganjaran yang diperolehi Nabi Ibrahim kerana taat kepada perintah Allah. Maksud hadith Rasulullah :

"Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla."

Berdasarkan hikmah, fadhilat dan ganjaran ibadah korban tersebut, maka sewajarnyalah kita melakukan ibadah ini dengan penuh rasa ikhlas dan taat kepada Allah tanpa niat atau rasa riya' di dalam diri. Ini adalah kerana dengan keikhlasan dan pengharapan pahala dari Allahlah yang menjadikan ibadah kita diterima dan kita akan mendapat kemuliaan dari Allah. Demi mengharapkan pahala serta keampunan Allah inilah juga kita mesti sanggup mengorbankan harta, nyawa, tenaga dan diri kita ke jalan yang diredhai olehNya. Berilah atau dermalah atau korbankanlah apa yang kita sayang kepada orang yang memerlukan, dan janganlah beri sumbangan apa yang sudah kita sendiri tidak mahu menggunakanya atau barang yang rosak. Ingatlah bahawa Allah s.w.t itu Maha luas nikmat dan rahmat serta kekuasaanNya.

SALAM EIDUL ADHA 1430H/2009M